MOHD LAZIM ENDUT
 

JAGUH acara berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerima insentif berjumlah RM350,000 sumbangan kerajaan negeri Terengganu di atas pencapaiannya meraih pingat Perak dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Insentif berupa rumah teres setingkat bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000 diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terenganu,petang ini.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, kediaman itu terletak hanya 300 meter dari velodrom yang sedang dalam pembinaan di Dungun.

Dr. Ahmad Samsuri melihat pingat Perak Olimpik yang dimenangi Azizulhasni di Kediaman Seri Iman, Kuala Terenganu, hari ini.

Katanya, insentif tersebut merupakan satu bentuk penghargaan kepada anak negeri Terengganu yang berjaya membawa pulang satu-satunya pingat perak buat negara dalam sukan berprestij dunia pada kali ini.

“Ia menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Terengganu dan menjadi inspirasi buat semua. Kita boleh memasang apa jua cita cita, namun yang penting ialah berusaha gigih selain sokongan daripada semua pihak.

“Kerajaan negeri berharap pencapaian Datuk Azizulhasni akan terus meningkat dalam kejohanan selepas ini dengan membawa pulang pula pingat Emas,” katanya.

Dr. Ahmad Samsuri berkata demikian kepada media selepas menyampaikan insentif tersebut.


Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus menyokong atlet-atlet anak Terengganu yang mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Dr. Ahmad Samsuri memberitahu, Kerajaan negeri akan berusaha merealisasikan hajat Datuk Azizulhasn yang mahu terus dibimbing jurulatih berbasikal negara, John Beasley.

Malah menurut beliau, pihaknya sedia memberi komitmen untuk memastikan Beasley akan terus membimbing anak kelahiran Dungun itu.

“Saya berikan komitmen sekiranya keputusan berbeza hendak dibuat oleh mana-mana pihak, Insya Allah, kita akan perjuangkan supaya Datuk Azizulhasni dapat khidmat jurulatih terbaik seperti mana dikehendakinya.

“Jika beliau selesa dengan Beasley, kerajaan negeri akan berbincang dan meyakinkan Kementerian Belia dan Sukan supaya teruskan dengan jurulatih ini (Beasley) supaya hasrat kita untuk melihat emas tiga tahun lagi akan tercapai,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here