Kabinet baharu

Apa yang rakyat mahu lihat dalam Kabinet baharu?

MACAM-MACAM spekulasi timbul mengenai pembentukan Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut berlegar dalam media sosial senarai-senarai yang memaparkan muka-muka yang dijangka dilantik sebagai menteri Kabinet.

Dalam satu senarai, ada yang kata si A bakal jadi Timbalan Perdana Menteri manakala senarai yang pula menyebut si B.

Sudah tentu semua senarai itu tidak sahih selagi nama-nama menteri Kabinet baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong belum diumumkan oleh Ismail Sabri.

Kita ketepikan dahulu senarai-senarai tidak sahih yang mungkin direka oleh pihak-pihak yang berharap bos mereka akan dilantik.

Perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh Perdana Menteri adalah harapan rakyat.

Mereka mahu Kabinet yang bakal dibentuk mampu bertindak secara berkesan bagi menangani pelbagai krisis yang tercetus akibat pandemik COVID-19 yang berpanjangan sejak awal tahun lalu.

Saiznya tidak perlu besar, cukup sekadar kementerian-kementerian penting yang diperlukan dalam situasi krisis COVID-19.

Seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing, 10 kementerian sudah memadai buat masa ini.

Portfolio yang mesti ada termasuk Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri.

Yang selebihnya terpulang kepada pertimbangan Perdana Menteri untuk menentukannya.

Mungkin ada kementerian yang boleh diiletakkan di bawah satu menteri sahaja.

Contohnya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh disatukan di bawah portfolio Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

Begitu juga dengan portfolio timbalan menteri, tidak perlu ramai sehingga dua orang untuk sebuah kementerian.

Rakyat juga berharap agar amalan melantik penasihat khas atau duta khas bertaraf menteri ditangguhkan dahulu.

Tugas-tugas yang sebelum ini diamanahkan kepada penasihat khas atau duta khas sebenar bertindan dengan peranan menteri-menteri Kabinet yang berkaitan.

Misalnya, urusan diplomatik sememangnya di bawah portfolio Menteri Luar dengan dibantu oleh duta-duta besar yang berpengalaman luas dalam hal ehwal hubungan antarabangsa.

Pada pandangan rakyat, langkah mengecilkan saiz Kabinet bukan sahaja boleh mengurangkan kerenah birokrasi malah menjimatkan kos pengurusan yang perlu ditanggung kerajaan.

Memang menjadi amalan biasa, setiap menteri Kabinet mempunyai setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai-pegawai lantikan politik yang lain.

Timbalan menteri pula mempunyai sekurang-kurangnya seorang pegawai khas.

Setiap jawatan lantikan politik pula mempunyai unit masing-masing yang perlu diisi dengan kakitangan untuk menggerakkan operasinya.

Kesemua pegawai-pegawai khas yang dilantik perlu dibayar gaji, elaun dan kemudahan lain dengan menggunakan peruntukan kerajaan.

Tidak dinafikan bahawa pegawai-pegawai khas memainkan peranan penting dalam melancarkan urusan kementerian.

Namun, situasi pandemik memerlukan kerajaan mengambil pendekatan yang luar biasa dan pengecilan saiz Kabinet serta mengoptimumkan jumlah pegawai lantikan politik merupakan salah satu daripada langkah yang boleh diambil.

Seperkara lagi, menteri Kabinet seharusnya memberi tumpuan yang lebih terhadap kelancaran dan kecekapan operasi kementerian dan mengurangkan fungsi sebagai ‘perasmi program atau majlis’.

Sekiranya hasrat-hasrat rakyat ini dapat dipenuhi, insya-Allah kerajaan yang baru dibentuk ini berpotensi menerima mandat mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sifirnya mudah. Rakyat pasti menghargai kesungguhan kerajaan untuk bersama-sama mereka mengikat perut dalam situasi krisis pandemik COVID-19 yang sememangnya sangat getir dan perit ketika ini.

Semoga segala yang diharapkan rakyat daripada kerajaan baharu ini menjadi kenyataan.


Comments

One response to “Apa yang rakyat mahu lihat dalam Kabinet baharu?”

  1. […] Apa yang rakyat mahu lihat dalam Kabinet baharu? […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *