
MAJORITI pengundi Cina dijangka tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya gabungan pembangkang itu masih mengulangi skrip basi untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Rata-rata mereka sudah bosan dengan gelagat Presiden PKR itu yang dilihat tidak memberi sebarang manfaat terhadap PH.
Ramai dalam kalangan mereka meluahkan kemarahan secara terbuka terhadap PH dan Anwar melalui media sosial termasuk Facebook.
Sememangnya, kegagalan PH untuk berkuasa semula selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan telah membuka mata pengundi-pengundi Cina seluas-luasnya.
Kini, mereka mulai insaf dan sedar bahawa slogan Demi Rakyat yang selama ini dilaungkan pemimpin-pemimpin PH hanyalah cakap-cakap kosong semata-mata.
Kaum Cina yang membentuk sebahagian besar komuniti perniagaan ini turut menerima tempias kesan kegagalan rejim PH bersikap adil dan saksama kepada semua bangsa semasa 22 bulan berkuasa dahulu.
Dasar-dasar rejim PH dirangka dan dilaksana tanpa memberi pertimbangan khusus terhadap keperluan orang Melayu-Islam dan kaum bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.
Akibatnya, orang Melayu-Islam selaku kelompok pengguna yang mempunyai kuasa beli yang signifikan bertindak balas dengan melancarkan kempen Buy Muslim First atau BMF yang menjejaskan perniagaan peniaga-peniaga Cina.
Sudah tentu mereka tidak dapat melupakan dasar inklusif yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang memastikan semua sama-sama dapat dan sama-sama merasa.
Faktor Anwar Ibrahim hanya menambah garam ke dalam luka yang dideritai kaum Cina ekoran kegagalan rejim PH sebelum ini.

Mereka mendesak agar kepimpinan PH melakukan anjakan paradigma dengan merombak struktur tertinggi gabungan pembangkang itu dengan mengetengahkan muka-muka baharu dan segar.
Tanpa bersembunyi, pengundi-pengundi Cina menyatakan mereka tidak teragak-agak untuk menyokong blok ketiga selain kerajaan dan pembangkang sekiranya muka Anwar masih ditayangkan sebagai calon Perdana Menteri PH.
Sekiranya situasi itu berlaku, DAP pasti kehilangan banyak kerusi di kawasan majoriti Cina yang dikuasai parti cauvinis tersebut.
Mahu tidak mahu, pemimpin-pemimpin DAP terutamanya yang masih muda perlu berani menterjemahkan desakan pengundi-pengundi Cina dalam bentuk tindakan yang konkrit.
Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan DAP yang selama ini menjadi abang besar dalam PH ditolak oleh pengundi Cina pada PRU-15 nanti.
Segala-galanya terpulang kepada mereka, sama ada ingin kekal menjadi pak turut menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri atau mendesak reformasi dilakukan dalam PH dan DAP.
Apa yang pasti, rakyat yang mengundi PH pada PRU-14 sudah menyedari kesilapan mereka dan tidak ingin episod ngeri hidup di bawah cengkaman PH ditayang semula.
Leave a Reply