WALAUPUN sudah mula kedengaran suara akar umbi yang mendesak perubahan drastik dilakukan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah terperangkap dalam sindrom penafian yang kronik.
Sikap itu terbukti apabila Majlis Presiden PH mengulangi komitmen lapuk bahawa gabungan politik itu akan diperkukuh di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketetapan kitar semula itu dinyatakan dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Anwar serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, hari ini.
“Segala persiapan menuju PRU-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat.
“Pada masa yang sama, selaras dengan Ketetapan Port Dickson bertarikh 9 April 2021, dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang, PH mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat,” jelas mereka.
Pendirian yang diulangi Majlis Presiden PH itu sangat berbeza dengan nada kecewa akar umbi ekoran kegagalan Anwar meraih majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Antara yang menyuarakan kekecewaan adalah Ketua Pemuda PAN Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli; Hafizzuddin Razian (Kepong); Mohd Nur Fadhil (Bandar Tun Razak) dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Bukit Bintang).
Mereka berpandangan, kegagalan tersebut semakin menghakis keyakinan orang ramai kepada PH serta kewibawaan pemimpinnya.
Apa yang mereka mahu adalah barisan kepimpinan yang kompeten untuk mengemudi negara mengikut hala tuju yang sepatutnya lebih-lebih lagi dalam situasi krisis akibat pandemik COVID-19 ketika ini.
“Pimpinan perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini dan merombak struktur sedia ada untuk membuka khemah pembangkang yang lebih besar dan melunaskan semua cadangan dasar Covid-19 yang lebih konstruktif,” tegas mereka.
Malah, pengangalis politik, Dr Wong Chin Huat menyifat kegagalan PH membuktikan mereka adalah alternatif yang lebih baik untuk mentadbir negara adalah punca mereka terlepas peluang untuk kembali berkuasa.
Katanya, ramai penyokong pembangkang cenderung mempercayai ‘cerita dongeng’ yang dinyatakan pemimpin pembangkang kerana mereka takut PH tidak dapat memenangi PRU-15 dan mesti merebut kembali kerajaan bagi menikmati kelebihan sebagai penyandang jawatan dan meningkatkan peluang mereka.
Leave a Reply