permit

Kelewatan lulus permit jejas operasi perniagaan

KOMUNITI perniagaan di negara ini mengeluh ekoran berlaku kelewatan kelulusan permit sama ada permit perniagaan, permit penjaja, permit eksport dan permit import daripada beberapa kementerian.

Setiausaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Malaysia (DPPM) Putrajaya, Kamarulzaman Mohamad berkata, masalah itu sudah tentu akan merugikan dan tidak adil bagi pihak industri yang bertungkus lumus menghidupkan ekonomi syarikat.

Sehubungan itu, menurut beliau, pihaknya berharap agar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat memacu kembali pertumbuhan ekonomi ke tahap terbaik dan usaha itu memerlukan sokongan penjawat awam khasnya di peringkat pengurusan.

“Mereka ini perlu merasai denyut nadi pemain industri dan bukan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang saya kira perlu dirungkai kembali bersesuaian dengan suasana dan desakan industri demi membantu perkembangan ekonomi yang cepat.

“Sebagai contoh jika SOP sekarang memerlukan 14 hari kelulusan, maka tempoh ini perlu dipendekkan kepada seminggu atau secepatnya.

“Jika ini dapat diubah, DPPM Putrajaya yakin dan percaya ianya dapat mempercepatkan proses pemulihan dan ransangan ekonomi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamarulzaman menambah, kepada kakitangan kerajaan, DPPM Putrajaya merayu agar mereka segera menyelesaikan kemelut pemain industri dan membantu mempercepatkan kelulusan permohonan agar mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Bayangkan jika enam bulan permohonan tiada jawapan maka bagaimana mereka mahu merancang operasi syarikat.

“Kakitangan kerajaan khasnya di peringkat pengurusan hendaklah mesra industri dan sehabis baik membantu bagi mengatasi sebarang kelewatan kelulusan permohonan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, DPPM Putrajaya mencadangkan kepada kerajaan agar segera melihat permasalahan para kontraktor dari Gred G1 sehingga G7 yang mengeluh tiada projek serta isu harga barang seperti simen dan besi yang semakin tinggi.

Kamarulzaman berkata, situasi itu pasti akan menjejaskan kontrak mereka.

“Di samping itu juga, bagi mempercepatkan proses pemilihan kontraktor, kerja-kerja cabutan undi perlu dipraktikan segera agar sentiasa telus dan dapat mengelakkan dari elemen rasuah.

“Bagi kerja-kerja yang telah tamat atau hampir tamat, kerajaan boleh menyambung kembali kerja-kerja tersebut tanpa perlu menender semula dan ini dapat mengelakkan banyak pergerakan dikalangan kakitangan awam di pejabat.

“Seharusnyalah penyambungan ini diberi kepada kontraktor yang menunjukkan kemampuan menyempurnakan projek tersebut,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu liputan internet yang kurang memuaskan di kawasan pinggir bandar di mana ia menjejaskan perniagaan dalam talian di kawasan tersebut.

“Seharusnya kerajaan memastikan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mempertingkatkan perkhidmatan mereka sejajar dengan caj yang dikenakan kepada pengguna,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *