Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT
SEORANG aktivis masyarakat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memfitnah seorang pegawai polis melalui Facebook pada Mac lalu.
Tertuduh, Phan Sow Sun, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd. Zaki Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memfitnah Inspektor R. Kunes Raw dengan menviralkan tiga video dalam pautan Facebook.
Video itu mengandungi tohmahan terhadap Kunes Raw iaitu salah guna kuasa dan tinggal di sebuah rumah kira-kira dua hingga tiga tahun tanpa perjanjian sewa yang akan merosakkan nama pegawai polis berkemaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah unit Tower B, Kondominium BM City, Bukit Mertajam kira-kira pukul 7 pagi pada 26 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Kalaivaanan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sow Sun diikat jamin RM2,500 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 29 September ini.
Leave a Reply