Oleh RIZQI ZABIDI
Tidak hanya kehilangan abang kandung, malah mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai, Kedah Rabu lalu turut terpaksa menerima hakikat kehilangan jarinya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa tersebut yang merupakan seorang warga emas, Abdullah Murad, 64, kini dilaporkan menerima rawatan di salah sebuah hospital swasta di Alor Setar.
Selain itu katanya, lelaki itu turut didapati mengalami kecederaan di rusuk.
“Berkaitan misi mencari mangsa yang hilang pula, setakat ini pasukan mencari dan menyelamat seakan sudah menemui petunjuk mengenai kedudukan mereka.
“Namun setakat pukul 12.30 hari ini, kedua-duanya masih belum ditemukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, hujan lebat luar biasa selama lebih lima jam di Gunung Jerai menyebabkan berlakunya tragedi kepala air yang disifatkan terburuk dalam sejarah di kawasan itu.
Abang kandung Abdullah Zahinor Murad, 65, merupakan antara tiga yang maut dalam kejadian itu.
Sementara itu Mazlan berkata, setiap pihak yang datang menghulurkan bantuan diminta mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.
“Kawasan Yan ini masih lagi berstatus merah. Oleh itu semua pihak perlu berjaga-jaga agar tidak menjadi punca kepada penularan Covid-19 di sini.
“Mana-mana pihak yang ingin menyampaikan bantuan boleh berbuat demikian dengan cara menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlibat,” katanya.
Leave a Reply