Oleh RAHIMI MOHAMAD

MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM150,000 untuk semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Peruntukan itu diumumkan beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Hasni, semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima peruntukan itu termasuk pembangkang.

Jelas beliau, semua peruntukan itu termasuk peruntukan tambahan tersebut berjumlah RM8.4 juta setakat ini.

Hasni turut mengumumkan peruntukan tambahan kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) masing-masing berjumlah RM100,000 bagi tujuan sama yang menjadikan jumlah keseluruhan RM11.1 juta.

“Peruntukan tambahan ini boleh digunakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan masyarakat di kawasan DUN Yang Berhormat sekalian,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, ekonomi negeri diunjurkan bertambah sebanyak tiga hingga lima peratus berdasarkan unjuran di peringkat nasional yang telah dikemas kini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu tiga hingga empat peratus.

Walaupun begitu katanya, ekonomi Johor pada tahun ini kekal pada landasan pemulihan didorong kadar vaksinasi negeri semakin meningkat, sekali gus membenarkan Johor untuk ke fasa-fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Oleh itu, sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula secara beransur-ansur akan memulihkan sentimen isi rumah dan perniagaan.

“Malah, pakej-pakej rangsangan ekonomi (PRE) Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 telah berjaya memberikan sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here