Macam tak percaya “Yee” jadi PM – Abang

MOHD LAZIM ENDUT

ABANG kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seakan tidak percaya bahawa adiknya yang merupakan seorang budak kampung akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Malah, Abdul Manaf Yaakob, 81, menyifatkan pelantikan adik bongsunya yang mesra dengan panggilan Yee sebagai satu kejutan buat keluarganya.

“Ya, kami rasa macam tak percaya anak kampung boleh jadi Perdana Menteri,” katanya selepas Ahli Parlimen Bera itu dilantik selaku Perdana Menteri ke-9 petang ini.

Menurut Abdul Manaf, apa yang berlaku merupakan satu khabar gembira yang tidak terduga buat keluarganya.

Katanya, memang pada mulanya ada rasa macam tidak masuk akal adik menjadi PM selain terkejut, namun pada masa sama tetap bersyukur dan tahu ia dalam aturan Allah SWT walaupun dilihat perjalanan karier politik adiknya itu agak mendatar.

Bagaimanapun, Abdul Manaf tetap menaruh harapan adiknya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan sebaik-baiknya.

“Kalau ikutkan ketokohan Yee dalam bidang politik hanya saya nampak ketika dia menuntut di Universiti Malaya (UM),” ceritanya.

Abdul Manaf yang juga bekas ahli perniagaan itu ditemui di kediamannya di Taman Sri Semantan,Temerloh Pahang, hari ini.

Ujar anak kedua daripada lapan beradik yang mesra dengan panggilan Abang Nik itu, sebagai anak bongsu, Ismail Sabri seorang adik yang manja dan low-profile sejak kecil.

“Selain itu, sebagai anak kampung, yee pun macam budak lain, suka mandi sungai dan lain-lain.

“Bila adik dah jadi menteri saya lihat dia (Yee) masih menunjukkan sifat manjanya dan masih gemar makan ketupat cicah gula kabung (nisan).

“Saya harap Yee dapat menggalas tanggungjawab sebagai PM sebaik mungkin.

“Jalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan amanah selain mampu mengatasi pandemik Covid-19 yang sangat diharapkan oleh rakyat di negara ini,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *