JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan sekurang-kurangnya empat runtuhan tanah pada lereng Gunung Jerai yang dipercayai berlaku ekoran fenomena kepala air pada Rabu lepas.
Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG Dr Ferdaus Ahmad berkata runtuhan itu dikesan berdasarkan pemerhatian awal pasukan Task Force Bencana Geologi jabatan itu yang ditugaskan mengenal pasti punca kejadian itu selain membuat penilaian risiko.
“Pada dasarnya apa yang berlaku kita boleh panggil sebagai satu bencana geologi, bencana ini antaranya adalah tanah runtuh, tanah runtuh boleh disebabkan oleh hujan yang berterusan dalam masa yang panjang dan juga mungkin disebabkan gegaran oleh gempa bumi.
“Dalam kes di Gunung Jerai, kita dapati bahawa sebelum kejadian tersebut, berlaku hujan pada kadar luar biasa, jadi dalam masa yang sama perkara ini berlaku dengan gabungan bentuk muka bumi gunung yang sudutnya lebih 25 darjah,” katanya ketika ditemui pemberita di Titi Hayun di sini hari ini.
Katanya, antara jenis batuan yang terdapat di gunung itu yang dikenal pasti ialah batu pasir, granit dan kuarzit juga boleh menjadi penyumbang kepada kejadian yang berlaku.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan siasatan dan kajian terperinci masih diperlukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di gunung itu sebelum pihaknya dapat membuat sebarang kesimpulan.
“Ketika ini kita tidak boleh masuk ke kawasan runtuhan di gunung itu kerana faktor keselamatan. Untuk peringkat awal kita akan membuat pemetaan kawasan gunung menggunakan dron dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan pemetaan itu nanti pihaknya akan mengenal pasti kawasan yang pernah berlaku kejadian serupa sebelum ini dan kawasan lain yang mungkin berisiko berlaku bencana geologi atau fenomena kepala air seperti yang diketahui umum.
Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata bencana geologi di Gunung Jerai pada Rabu mempunyai persamaan dengan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini termasuk tragedi Pos Dipang, Kampar di Perak pada 1996 yang disebabkan gabungan beberapa faktor geologi.
Justeru, beliau berkata hasil kajian dan siasatan serta penilaian risiko perlu dibuat dengan segera agar potensi untuk bencana geologi itu berulang di Gunung Jerai dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan sewajarnya.
“Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan, kita akan buat syor kepada pihak kementerian atau kerajaan tempatan untuk cadangan yang perlu dipertimbangkan. Kita akan masukkan sekali penilaian risiko untuk mengelakkan bencana seperti ini berlaku lagi,” katanya.
Setakat ini, tragedi banjir yang disebabkan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu meragut empat nyawa, manakala dua lagi masih hilang.
Bencana itu turut menjejaskan kawasan sekitar gunung di daerah ini selain daerah Kuala Muda.- BERNAMA
Leave a Reply