SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara seharusnya menginsafkan para pemimpin bahawa mereka diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melakukan penetapan semula perkara perlu diutamakan dalam urus tadbir negara berteraskan prinsip keadilan.
Baginda bertitah, prinsip keadilan itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada mereka yang pakar dalam bidangnya.
Baginda bertitah, ahli falsafah Islam Ibnu Khaldun dalam mukadimah yang dihasilkannya 800 tahun lalu mengaitkan bencana dengan perubahan sosial yang membentuk lima fasa.
“Fasa pertama, suatu kaum bersandarkan semangat asabiyah bergerak membentuk identiti politik; fasa kedua bermulanya perluasan kuasa, pengaruh dan wilayah; fasa ketiga kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil pemerintah sebelumnya.
“Seterusnya, fasa keempat fasa kelalaian dan berpuas hati dengan pencapaian dan terakhir fasa kejatuhan dan kehancuran sesebuah identiti politik dan kerajaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen universiti itu kali ke-13 yang berlangsung secara maya, hari ini.
Titah baginda dibacakan oleh Pro-Canselor USAS, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin yang diadakan secara maya, hari ini.
Pada majlis Istiadat Konvokesyen berkenaan, seramai 1,292 graduan dianugerahkan ijazah dan diploma, dengan dua penerima ijazah Doktor Falsafah, 59 orang penerima ijazah Sarjana, 288 orang ijazah Sarjana Muda dan 923 orang diploma.
Titah baginda, Ibnu Khaldun memberikan peringatan bahawa lima fasa itu akan berulang pada setiap tamadun dan setiap identiti politik akan menghadapinya dalam kitaran sejarah.
“Manusia, pada saat menghadapi bencana berat yang sedang melanda ini, wajib mendalami lubuk hati, menyelami daya fikir, agar dapat menginsafi tentang kemungkinan jatuhnya sesebuah identiti politik, kerajaan, negara dan tamadun, jika sesebuah negara tidak memiliki cukup persediaan dan kekuatan.
“Ibnu Khaldun turut memberikan peringatan bahawa sesebuah tamadun akan runtuh apabila pemerintahan gagal melaksanakan keadilan,” titah baginda.
Di samping itu, baginda bertitah, berdasarkan ‘trend’ yang sedang berlaku, rakyat terpaksa menerima realiti Covid-19 ialah sebahagian kewujudan alam dan akan sentiasa berada dalam kehidupan manusia.
“Sehingga manusia berjaya menemui penawar mujarab, manusia hendaklah menggunakan akal fikiran melakukan perubahan, penyesuaian dan penghijrahan daripada norma hidup sebelum ini dengan memiliki pandangan alam yang bijaksana.
“Pada zaman silam ulama mentafsirkan apabila sesuatu bencana diturunkan, menandakan kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa dan kezaliman manusia.
“Oleh itu, di samping usaha begitu gigih yang diterokai untuk mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima sesuatu bencana sebagai qadar yang telah ditentukan Ilahi dan berusaha mencari rahsia yang terkandung di sebalik bencana yang diturunkan,” titah baginda.
Leave a Reply