BAHANG majlis angkat sumpah jawatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini turut dirasai ahli keluarga Naib Presiden UMNO itu.
Menerusi perkongsian Instagram, pereka fesyen terkenal dan juga menantu Perdana Menteri, Datuk Jovian Mandagie berkongsi gambar beliau sedang membantu bapa mertuanya bersiap ke majlis itu.
Namun pada kapsyen gambar itu, Jovian berkongsi perbualan anak perempuannya, Jeannelle Mika Mandagie, 3, bersama datuknya yang dipanggil Atuk.
“J berkata, Atuk lebih handsome daripada ayah hari ini,” tulis Jovian.
Nyata anak kecil itu sudah berasa teruja dan memahami detik bersejarah yang akan dilalui datuknya.
Sejak status itu dimuatnaik, ia telah menerima lebih 47,000 tanda suka oleh warganet.
Jeannelle merupakan satu-satunya anak Jovian hasil perkahwinannya dengan puteri tunggal Ismail, Nina Sabrina Ismail Sabri, 34, lapan tahun lalu.
Sementara itu, Ismail Sabri hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, kira-kira pukul 2.20 petang.
Ismail Sabri mengangkat sumpah pada pukul 2.28 petang.
Jovian juga merupakan pemilik perniagaan busana Jovian Ready-To-Wear (RTW).
Leave a Reply