Oleh RAHIMI MOHAMAD
SERAMAI 21 orang petugas kesihatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, dikesan positif Covid-19.
Menurut Pengarah HSA, Dr. Mohtar Pungut, keputusan itu diperolehi hasil aktiviti saringan termasuk pengesanan kontak yang dijalankan susulan pengumuman Kluster Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dr. Mohtar berkata, pihak pengurusan hospital bertindak segera dengan mengawal serta mengekang penularan jangkitan Covid-19 di fasiliti tersebut.
Katanya, langkah-langkah kawalan itu termasuk mengenal pasti kontak rapat di tempat kerja, rumah dan sosial serta melakukan saringan calitan tekak terhadap kontak rapat di tempat kerja, rumah termasuk sosial.
“Langkah susulan yang diambil juga melibatkan tindakan merawat, pemantauan dan kuarantin dijalankan mengikut kategori pesakit dan kontak.
“Kerja-kerja sanitasi dan nyahkuman juga telah dilakukan di semua lokasi yang terlibat, malah operasi Jabatan Kecemasan dan Trauma tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Dr. Mohtar, Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Persekitaran akan memantau tahap kesihatan semua petugas terlibat termasuk amalan kawalan infeksi diperketatkan.
Justeru, pihaknya meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu yang telah ditetapkan walaupun telah mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Leave a Reply