SOKONGAN 114 ahli Parlimen kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos lalu membolehkan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan pukul 2.30 petang, esok di lstana Negara.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat-surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

‘’Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu,’’ katanya.

Beliau berkata, dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri sekaligus membolehkan mendapat  jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, katanya,  Seri Paduka  telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

‘’Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka  telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,’’ katanya

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

‘’Pada sesi Perbincangan Khas ini, yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang, Seri Paduka telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin  Md. Yasin pada 16 Ogos lalu.

‘’Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka  semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos lalu di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration),’’ katanya.

.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here