SETELAH usaha mendapatkan respons melalui teks gagal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya memilih untuk memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan penyanyi rap, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Permohonan itu berikutan laporan polis yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah menghantar teks kepada kedua-dua individu tersebut namun tidak dibalas.
“Oleh itu kita telah minta bantuan Interpol untuk kesan dan berhubung dengan mereka khasnya dalam menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk diambil keterangan secara dalam talian,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, kedua-dua individu itu diminta bekerjasama dan berhubung dengan polis untuk dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.
“Semua proses kita sudah buat cuma rakaman percakapan kedua-dua individu ini masih belum dapat dijalankan.
“Justeru kita minta kedua-duanya dapat beri maklum balas secepat mungkin,” tambahnya.
Ebit Lew membuat laporan polis pada 21 Julai lalu, mendakwa dirinya difitnah dipercayai ada kaitan dengan isu misi kemanusiaan kelolannya di Genting Gaza.
Leave a Reply