2,189 maut, Haiti bakal isytihar darurat

Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERDANA Menteri Haiti, Ariel Henry bersedia untuk mengisytiharkan darurat selepas negara itu dilanda gempa bumi sekuat 7.2 skala Richter, yang mengorbankan 2,189 nyawa manakala 300 penduduk masih hilang dan dikhuatiri turut terbunuh.

Gempa kuat yang melanda pantai Haiti Sabtu lalu merosakkan lebih 100,000 rumah dan menyebabkan kira-kira 30,000 keluarga kehilangan tempat tinggal, manakala banyak bangunan serta kemudahan termasuk hospital, sekolah, pejabat dan gereja turut musnah.

Henry menggesa semua pihak bersolidariti menghadapi bencana itu selepas Agensi Perlindungan Awam Haiti mengesahkan 12,268 orang cedera setakat ini dan keadaan dijangka bertambah teruk.

Beliau berjanji kerajaannya tidak akan mengulangi kesilapan salah urus ketika dilanda gempa bumi pada 2010 dan menggesa semua pihak bersatu berdepan bencana kali ini.

Pada 2010, kerajaan dan badan antarabangsa bergelut untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa.

“Kali ini, kita mesti bergabung untuk membina semula Haiti. Negara ini sudah musnah secara fizikal dan mental,” katanya.

Al-Jazeera melaporkan, beberapa negara turut menyatakan kesediaan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada Haiti dan bantuan mula sampai secara berperingkat-peringkat sejak semalam.

Bekalan bantuan dari Amerika Syarikat dan negara lain tiba di semenanjung barat daya Haiti, di mana gempa bumi tersebut terjadi.

Lebih merumitkan keadaan, sebuah Hospital Besar di ibu kota Port-au-Prince yang menempatkan orang awam yang cedera akibat gempa itu terpaksa ditutup, angkara protes terhadap penculikan dua doktor.

Seorang daripada doktor yang diculik itu adalah pakar bedah ortopedik di negara tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *