Oleh Rizqi Zabidi
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tinjauan udara sekitar Gunung Jerai bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang akitiviti pembalakan yang didakwa menyebabkan berlakunya fenomena kepala air semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin yang mengetuai tinjauan udara itu berkata, tidak berlaku sebarang aktiviti pembalakan di kawasan itu dan hanya menemukan beberapa saiz aliran air terjun dari puncak gunung.
“Ini yang dipercayai menjadi punca kepada fenomena kepala air. Apa yang kita nampak hanyalah tiga saliran air yang jelas dan empat lagi terlindung di balik pokok-pokok hutan. Saliran itu ada yang besar, sederhana dan kecil saiznya.
“Aliran itu mungkin berpecah di atas tetapi bercantum pada titik tertentu di bahagian bawah hingga menyebabkan arus menjadi terlalu deras apabila ia sampai ke pusat-pusat peranginan terlibat dan kampung penduduk,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini terdapat dakwaan dalam media sosial mengatakan fenomena tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian semalam berkata, tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana kawasan itu telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Wahab berkata, fenomena kepala air itu tidak mustahil boleh berulang sekiranya jumlah hujan berterusan dalam kuantiti yang banyak.
“Dalam tinjauan udara dilakukan tadi, kami tidak boleh pergi sampai ke puncak kerana awan terlalu rendah selain cuaca mendung. Disebabkan itu, kita tidak dapat melihat akan kedudukan takungan air sebenar.
“Namun bersandarkan pemerhatian, kami menjangkakan memang terdapat satu takungan air besar di atas gunung ini.
“Apabila berlaku hujan turun dalam kuantiti yang banyak untuk tempoh lama, itu boleh sebabkan kepala air ini turun bersama sisa-sisa hutan termasuk kayu dan batu,” katanya.
Ditanya sekiranya terdapat kemungkinan fenomena sama akan mengundang bencana seteruk itu jika ia berlaku sekali lagi, Abdul Wahab berkata, segalanya bergantung kepada jumlah hujan.
“Disebabkan telah wujud beberapa aliran air dalam pelbagai saiz yang saya sebutkan tadi, mungkin air yang berada dalam dalam takungan di puncak gunung boleh turun secara terus ketika ini tanpa perlu menampung kuantiti terlalu banyak.
“Tetapi untuk tempoh yang lama, semua pihak masih perlu berjaga-jaga. Jika terdapat sisa hutan atau batu yang menyekat pergerakan air dalam tempoh lama, tidak mustahil situasi sama seperti ini akan berulang,” katanya.
Leave a Reply