Oleh Abu Ubaidillah Rahman
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memindahkan 102 penduduk di lima buah kampung di daerah Larut Matang, Taiping ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir semalam.
JBPM Perak dalam satu kenyataan memberitahu, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim Al Baraqah dan Dewan Orang Ramai Sungai Baru dibuka dan dijadikan PPS untuk mangsa banjir.
“Seramai 25 keluarga dari Kampung Sungai Rentaka, Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong kiri ditempatkan di PPS SRAR Ngah Ibrahim Al Baraqah yang dibuka pada jam 9.50 malam tadi.
“Bagi PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru yang dibuka pada jam 12.01 tengah malam ini pula, seramai 15 mangsa banjir dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi ditempatkan di situ,” jelas JBPM Perak itu, hari ini.
Jelas kenyataan tersebut, setakat ini sebanyak 29 keluarga ditempatkan di dua PPS tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar dalam hantaran di Facebook turut turun padang meninjau keadaan banjir tersebut sejak petang Rabu.
Menurut beliau, kejadian tersebut antara yang terburuk pernah dialami penduduk di kawasan Matang.
Leave a Reply