YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengadakan pertemuan khas dengan Raja-raja Melayu bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan, Jumaat ini.
Memetik laporan BH Online, perkara itu disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.
Beliau menambah, Istana Negara juga akan mengeluarkan kenyataan itu dalam masa terdekat hari ini.
“Benar, hari ini akan keluarkan kenyataan selepas jam 12 tengah hari, insya-Allah,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap pemimpin parti-parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Yang turut hadir menghadap Seri Paduka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Antara titah baginda adalah supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.
Semalam, semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan surat akuan yang menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya pukul 4 petang, hari ini.
Arahan itu terkandung dalam notis daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen.
“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoiti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” katanya.
Leave a Reply