SAHABAT Alam Malaysia (SAM) terkejut dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pusat Falak Sheikh Tahir, Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, pihaknya difahamkan kejadian itu berpunca daripada kegagalan ‘stone pitching’ bagi protection slope (perlindungan cerun) akibat hujan lebat sehingga menyebabkan batu-batu besar menggelongsor.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa kejadian tersebut diberikan perhatian serius oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak yang berkaitan yang mana kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun.
Jelasnya, tindakan mitigasi juga perlu dilakukan supaya masalah itu tidak lagi berulang di masa akan datang dan sekiranya melibatkan penduduk yang berdekatan, maka mereka perlu dipindahkan segera.
“Walaupun terdapat maklumat mengenai keselamatan bangunan kerana tiada kerosakan pada struktur bangunan, kami berpendapat perkara ini perlu diteliti dan dikaji secara mendalam.
“Ini kerana apabila melibatkan runtuhan tanah bukit, kita perlu berhati-hati kerana kesan sampingan daripada runtuhan berkemungkinan besar akan kembali berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, sebahagian tanah di bangunan itu runtuh ekoran berlakunya gelongsoran batu ketika hujan lebat.
Sementara itu, Meenakshi turut menggesa supaya setiap cerun di negeri ini harus sentiasa diperiksa bagi memastikan ia kukuh.
Katanya, usaha itu supaya perkara-perkara yang membabitkan hakisan atau kejadian tanah runtuh tidak berlaku dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang mana negara akan berhadapan dengan ribut serta hujan lebat yang lebih kerap.
Malah tegasnya, SAM mengulangi pendirian tidak menyokong sebarang pembangunan yang melibatkan kawasan cerun atau lereng bukit kerana bimbang perkara-perkara yang tidak dingini berlaku serta memusnahkan ekosistem bukit.
Leave a Reply