CUBA berfikir dengan tenang, kenapakah hari ini soal siapa yang mempunyai angka untuk menjadi Perdana Menteri begitu heboh diperkatakan.? Cuba renungkan kenapakah kita bagaikan ‘dibelenggu’ oleh pelbagai berita yang hakikatnya sekadar ‘psywar’ antara parti-parti politik terlibat?
Semua itu berlaku apabila tercetus khabar bahawa kepemimpinan UMNO yang disokong oleh beberapa ahli Parlimen daripada parti itu ‘masih enggan’ memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.
Anehnya, Ahli Parlimen Bera itu bukan daripada parti lain sebaliknya adalah Naib Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri. Lebih daripada itu ‘di tangan’ Ismail Sabri sudah ada tidak kurang daripada 105 ahli Parlimen yang menyokong beliau menduduki jawatan Perdana Menteri.
Sebahagian besarnya adalah ahli Parlimen daripada parti lain. Dan jika 38 ahli Parlimen UMNO ‘solid’ memberi sokongan kepada Ismail Sabri, sudah pasti ‘perang saraf’ angka yang kini heboh diperkatakan tidak akan berlaku.
Agak malang apabila ketika UMNO mempunyai peluang besar untuk menerajui negara dan seterusnya membolehkan isu pencalonan Perdana Menteri diselesaikan segera serta tumpuan boleh diberikan kepada usaha membantu rakyat serta menguruskan negara, masih ada dalam ahli-ahli Parlimen termasuk kepemimpinan UMNO masih mahu berpolitik.
Malahan difahamkan malam tadi, mesyuarat politik parti itu dikatakan panas apabila beberapa pemimpin UMNO membantah cadangan supaya UMNO menghantar beberapa nama sebagai calon Perdana Menteri.
Kalau betul lah apa dikatakan terbukti ia hanyalah satu tindakan yang bertujuan menghalang Ismail Sabri menduduki jawatan berkenaan.
Bagaimanapun kadang kala dalam melakukan perancangan, manusia lupa perancangan Allah. Hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan semua ahli Dewan Rakyat dikehendaki menghantar satu surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mencalonkan Perdana Menteri pilihan mereka.
Surat itu harus menyertakan SATU NAMA dengan TERANG, JELAS dan TANPA SYARAT serta diperingatkan MENJAGA KERAHSIAAN SURAT. Maknanya, pencalonan bukan lagi secara ‘en bloc’ atau dihantar oleh ketua parti sebaliknya secara individu.
Langkah itu dilihat ‘check mate’ kepada kelompok dalam UMNO yang cuba menghalang pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Ia kerana sudah menjadi rahsia umum bahawa kepemimpinan UMNO dengan disokong oleh beberapa ahli Parlimen begitu keberatan mahu mencalonkan Ahli Parlimen Bera itu. Paling melucukan ada cadangan untuk meletakkan ‘kluster mahkamah’ dalam senarai calon menjadi Perdana Menteri.
Kini ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat keputusan dan tidak terikat dengan agenda politik mana-mana pemimpin dalam parti itu. Jika betul mereka berjuang untuk rakyat dan negara serta berpegang teguh kepada sumpah sebagai wakil rakyat maka mereka harus mengelakkan terlibat dalam politiking berlebihan.
Mereka sudah tahu Ismail Sabri mempunyai sokongan kuat daripada parti-parti lain dan sokongan diterima mengatasi calon pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka pasti tahu Ismail Sabri seorang yang bersih dan berwibawa, mereka pasti tahu Ismail Sabri adalah rakan separti dengan mereka, mereka pasti tahu Ismail Sabri akan membolehkan UMNO kembali menerajui kerajaan dan paling penting mereka tahu apabila sokongan diberikan kepada Ismail Sabri maka kemelut politik negara akan berakhir.
Justeru kalau mereka sudah mengetahui semua itu maka tanggungjawab mereka ialah memastikan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dan sekaligus akan membolehkan tumpuan diberikan kepada masalah rakyat serta negara.
Tetapi seandainya mereka masih mahu berpolitik dan terpengaruh dengan agenda politik pemimpin-pemimpin mereka, percayalah jika kemelut politik berterusan dan rakyat terus dihidang dengan polemik politik, paling teruk rakyat dan negara terus sengsara, mereka perlu bertanggungjawab.
Oleh itu janganlah buat kerja-kerja sia-sia dengan mencalonkan seseorang yang mereka tahu tidak akan mendapat sokongan daripada parti-parti lain sedangkan Ismail Sabri sudah memiliki sokongan yang kukuh.
Leave a Reply