AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan mencalonkan seorang pemimpin terkanan dari Barisan Nasional (BN) sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.
Walau bagaimanapun, Annuar yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan tidak menyebut nama pemimpin kanan BN tersebut.
“Saya baru terima surat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan Ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calon Perdana Menteri Kesembilan,untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Saya akan tunaikan tanggungjawab saya,setelah saya merujuk kepada pimpinan parti saya,serta kawan kawan dari parti sahabat.
“Yang pasti, saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti BN, dan mohon agar turut disokong oleh kawan-kawan Ahli Parlimen pelbagai parti yang lain,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Bekas Setiausaha Agung BN itu turut menyeru semua pihak agar melupakan perkara yang lalu dan memandang ke hadapan dengan memperkasakan semula perpaduan parti.
Beliau juga mengajak ke arah usaha memperkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu, bumiputera serta rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.
“Doakan yang terbaik buat Malaysia dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kepada Allah kita berserah. Daulat Tuanku,” jelasnya.
Semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan surat akuan yang menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya pukul 4 petang, esok.
Arahan itu terkandung dalam notis daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen hari ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoiti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” katanya.
Leave a Reply