BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan ia sebagai satu penghargaan apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi yang sukar ini.
Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Pertahanan berkata, perjuangan melawan pandemik COVID-19 terus menjadi keutamaan semua pihak.
“Terima kasih untuk semua saya ucapkan. Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan.
“Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur, aman dan sentosa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.
Bekas Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyifatkan tugas yang digalasnya ketika seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, bukan sesuatu yang mudah kerana ia penuh dengan dugaan dan cabaran.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, cabaran tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus melunaskan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
“Saya bersyukur dan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk memimpin. Tidak mungkin dapat saya sempurnakan tugasan ini tanpa sokongan, dedikasi, semangat profesionalisme dan ketekunan mereka.
“Pada saya, tiada noktah dalam perjuangan. Saya akan terus berbakti dalam apa jua kapasiti yang saya boleh,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya.
Sementara itu, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha menangani masalah ekonomi dan menjamin pekerjaan untuk rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.
Menurut beliau, walaupun ekonomi semakin pulih, ramai orang menderita dalam situasi pandemik global yang kejam ini.
“Secara jujur, saya meminta maaf atas segala kekurangan. Satu penghargaan dapat berkhidmat untuk Malaysia,” katanya dalam ciapan Twitter.
Dalam pada itu, bekas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata, beliau telah berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi kesejahteran infrastruktur rakyat dan negara.
Beliau berharap agar sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infrastruktur rakyat.
“Sepertimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan semua projek yang telah diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini,” jelasnya.
Leave a Reply