PKRC di Perak dinaik taraf untuk pesakit kategori 3, 4

by

in

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan menaik taraf Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Perak bagi menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, langkah itu sebagai persiapan menghadapi peningkatan kes bagi kedua-dua kategori itu di negeri ini yang telah menunjukkan trend peningkatan.

“Setakat ini pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4 yang memerlukan oksigen masih ditempatkan di hospital-hospital untuk tujuan rawatan manakala pesakit kategori 1 dan 2 yang stabil ditempatkan di PKRC.

“Dalam perancangan awal, JKN akan menaik taraf PKRC Arena Badminton di Ipoh yang mempunyai kapasiti besar untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 4 dahulu.

“Perkara ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat di PKRC lain pula bergantung kepada kemudahan peralatan perubatan yang ada kerana sekarang, pesakit ketegori ini perlukan diagnosis X-ray untuk lihat radang paru-paru.

“Jadi untuk akan datang sekiranya peralatan perubatan ini mencukupi dan ada keperluan seperti hospital-hospital telah mencapai kapasiti penuh, maka boleh dipertimbangkan agar kategori 3 dan 4 juga ditempatkan di PKRC,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau PKRC Kompleks Rakan Muda, Kamunting, Taiping yang baru beroperasi dan dibuka hari ini untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

Untuk peringkat pertama, PKRC yang boleh memempatkan sehingga 780 katil itu akan menerima kemasukan 32 pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dari Hospital Parit Buntar.

Mohd Akmal berkata, PKRC Kompleks Rakan Muda di Kamunting itu menjadi kemudahan kuarantin bagi pesakit-pesakit Covid-19 yang mendapatkan rawatan di hospital utara Perak seperti di Hospital Parit Buntar, Kuala Kangsar dan Gerik.

“Walaupun boleh menempatkan sehingga 780 katil, tetapi buat masa sekarang kita hanya sediakan 630 katil sahaja bagi tujuan keselesaan,” katanya.

Pembukaan PKRC Kompleks Rakan Muda, Kamunting itu adalah tambahan kepada tiga pusat kuarantin sedia ada di Perak iaitu di PKRC Arena Badminton Perak di Ipoh yang telah dinaik taraf kepada 520 katil berbanding 479 katil sebelum ini; Kolej Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta (570 katil) dan PKRC khas Orang Asli di Kem PLKN Sinaran Suria Sungkai yang dibuka mulai 25 Julai lalu memuatkan 470 katil.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *