Mohd Lazim Endut
PROJEK pembinaan velodrom berbasikal di Dungun yang dilaksanakan sejak tahun 2009 bukan bertujuan untuk penganjuran kejohanan bertaraf dunia.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan negeri (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia hanya ditumpukan kepada aspek pembangunan sukan berbasikal negeri.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam meminta tiada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan ia sebagai isu.
Menurut Wan Sukairi, pembinaan velodrom tersebut tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.
Beliau berkata, ini kerana tujuan asal velodrom berharga RM11.8 juta itu dibina adalah untuk dijadikan sebagai pusat latihan dan pembangunan sukan berbasikal negeri berikutan Terengganu adalah ‘lubuk’ pelumba basikal negara.
“Kita berharap isu mengenai velodrom ini dibina tidak memenuhi spesifikasi UCI bagi kejohanan bertaraf dunia tidak sepatutnya dibangkitkan apatah lagi projek di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun 2009 itu hanya membabitkan kos RM11.8 juta dan tidak menepati ciri-ciri velodrom bertaraf antarabangsa.
“Sebelum Projek itu dimulakan, kerajaan negeri ada memohon agar ia dibina di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak mengikut spesifikasi UCI dengan kos lebih tinggi sebagaimana di Nilai, namun tidak diluluskan,” ujarnya.
Justeru kata Wan Sukairi, hakikat itu perlu diterima dan bukannya menimbulkan pelbagai isu kurang sihat.
Menurut beliau, isu seperti itu perlu dihentikan kerana ia
boleh mencetuskan suasana tidak harmoni apatah lagi Datuk Azizulhasni Awang sudah melakukan pengorbanan tinggi dengan membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu.
Mengenai nama velodrom yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022, Wan Sukairi memberitahu, sehingga ini kerajaan negeri belum membuat keputusan memandangkan ia masih belum siap sepenuhnya.
“Kita belum membuat keputusan kerana ia belum siap sepenuhnya, kita memang bercadang untuk namakan velodrom Azizulhasni Awang.
“Marilah sama-sama kita berdoa agar ia menjadi kenyataan.
“Sehingga ini kerja-kerja pembinaan telah siap 90 peratus dan dijangka boleh beroperasi awal tahun 2023,” jelas beliau.
Leave a Reply