PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan mempersembahkan surat meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong esok.
Pelbagai spekulasi timbul lebih-lebih lagi tentang calon Perdana Menteri yang baharu sebaik sahaja desas-desus mengenai pengunduran Muhyiddin itu mula tersebar.
Seperti dilaporkan Malaysiakini, masih belum ada pemimpin yang dapat meraih sokong majoriti bagi melayakkan namanya dipertimbangkan untuk jawatan tersebut.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan hanya meraih sokongan 105 Ahli Parlimen, sedangkan beliau memerlukan sokongan 121 Ahli Parlimen untuk mencapai angan-angannya menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Malaysiakini turut melaporkan tentang kemungkinan pertemuan antara-antara parti-parti pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), UPKO dan PSB esok.
Difahamkan, pertemuan itu bertujuan membincangkan tentang usaha menyokong Anwar menjadi calon Perdana Menteri.
Hakikat yang diketahui umum adalah Ahli Parlimen Port Dickson itu mengidam jawatan Perdana Menteri sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.
Peluang terbuka apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PH) namun angan-angan Anwar berkecai apabila Dr Mahathir tiba-tiba meletak jawatan sekali gus menyaksikan kerajaan PH tumbang.
Walau bagaimanapun, Anwar dijangka sukar merealisasikan impiannya itu kerana dua parti pembangkang iaitu Pejuang dan Warisan pernah menolak cadangan PH menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri.
Selain Anwar, antara nama-nama lain yang disebut ialah pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Banyak pihak Tengku Razaleigh atau Ku Li mampu menjadi orang tengah yang meredakan situasi yang panas dalam gelanggang politik negara sementara menunggu waktu yang sesuai untuk diadakan PRU-15.
Tengku Razaleigh juga dikatakan boleh membuka jalan untuk menyelesaikan krisis dalaman UMNO serta meraih sokongan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang menolak Anwar dan DAP, terutamanya PAS.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri yang sebelum ini mengetuai Kluster Keselamatan dilihat memiliki pengalaman yang diperlukan untuk meneruskan kesinambungan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
Begitu juga dengan Menteri Kanan Luar Negara, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang terlibat secara aktif dalam rundingan diplomatik berkaitan usaha mendapatkan bekalan vaksin tambahan untuk Malaysia.
Namun, kedua-duanya berdepan tentangan yang hebat daripada parti sendiri khususnya kem Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Rakyat pula berharap agar semua pemimpin politik berhenti bertelagah dan menumpukan usaha membebaskan negara daripada ancaman COVID-19.
Leave a Reply