rundingan nasrudin hassan

Laksana gencatan politik, kembali ke meja rundingan

Oleh NASRUDIN HASSAN

SAYA konsisten dengan gesaan awal saya kepada semua rakan-rakan dari kalangan pemimpin parti-parti politik agar semua rujuk kembali ke meja rundingan dengan mencari solusi terbaik ke arah kestabilan politik negara yang berkocak teruk mutakhir ini.

Kita semua tahu bahawa politik adalah alat untuk membangunkan negara, berkhidmat kepada rakyat dan lebih penting, politik itu dijadikan alat untuk mengurus kehidupan yang taat kepada Tuhan Yang Maha Mencipta.

Sebagaimana kita faham, bahawa insya-Allah masih ada ahli politik yang ikhlas dan mahu melunaskan objektif tersebut dengan menjadi seorang pemimpin politik yang bukan sahaja bertanggungjawab tetapi bertakwa kepada Allah SWT.

Pemimpin politik yang mengambil kira elemen hak dan batil, dosa dan pahala serta syurga dan neraka dalam tindakan politik mereka. Agar mereka menjadi pemimpin yang adil dan soleh di dunia serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah SWT pada hari Kiamat kelak.

Duduklah berbincang dengan tenang dan saksama demi masa depan agama, negara dan rakyat keseluruhannya, terutamanya saat kita masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 yang sangat bahaya ini.

Mungkin pihak yang lebih disegani sepertiYang di-Pertuan Agong boleh menjadi mediator lalu memanggil semua pemimpin politik khasnya yang beragama Islam duduk berbincang dalam rundingan mencari penyelesaian demi masa depan Islam sebagai agama Persekutuan, negara yang berdaulat dan rakyat yang harmoni.

Tempoh wajib diadakan pilihan raya pun sudah tidak lama. Elok sangat masa yang ada ini, kita bersatu dan fokus menyelesaikan isu COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

Saya fikir, gerakan untuk menukar kerajaan atau mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan amatlah tidak sesuai pada masa ini. Selain ia melarikan fokus pada menangani COVID-19, ia juga tidak menyelesaikan masalah.

Kita semua tahu, sehingga kini, selain Perdana Menteri yang masih ada sekarang, masih belum ada Ahli Parlimen yang mampu miliki sokongan melepasi had majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kabinetnya.

Ataupun, dalam situasi margin yang kecil begini, kalaupun naik kerajaan yang baharu, kerajaan baharu itu pula akan berdepan dengan situasi serupa pada hari ini. Dipersoal sokongan majoritinya dan dipertikai pula keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya, sampai bila negara ini akan damai dari konflik yang merugikan kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan menjejaskan pula ekonomi.

Selayaknya semua pihak bersabar dulu. Sebelum detik sesuai kita kembali menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat pemilihan baharu bagi menentukan kerajaan yang bakal memerintah kelak.

Marilah kita bekerjasama. Apalah salahnya sesekali dalam sejarah politik negara, kita adakan gencatan politik untuk semua pihak bersatu membantu kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini serta mengusahakan projek vaksinasi yang sedang giat berjalan ini sehingga capai 80 peratus ke atas.

Insya-Allah, sampai masa yang sesuai (tidak lama dah pun) maka kembalilah kita kepada rakyat untuk mereka memilih kerajaan baharu dalam proses pilihan raya yang selamat.

  • Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *