Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PEMENANG pingat perak Olimpik dalam acara Keirin pada Tokyo 2020 lalu, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang mendedahkan membaca Al-Quran merupakan rahsia beliau untuk mendapatkan ketenangan ketika menghadapi kejohanan itu.

Jagus berbasikal negara itu berkata, menyertai kejohanan dengan tekanan besar bukan satu urursan yang mudah apatah lagi bertanding di temasya terbesar dunia.

“Tidak kiralah kecil atau besar sesebuah kejohanan itu, tetapi apabila kita menggalas sesebuah harapan besar yang diberikan, ia umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana.

“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapai situasi yang ‘extreme’ ini? Jawapan saya adalah Al-Quran dan ketika kem latihan di Nilai, saya sudah mulakan misi membaca Al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan.

“Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu itu ditambah dengan kesibukkan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan namun tetapi selepas tamat sahaja kem latihan dan terbang ke Tokyo, ia memberikan saya lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan,” katanya menrusi Facebook, hari ini.

Azizulhasni yang juga pernah memenangi pingat gangsa dalam acara keirin ketika Olimpik Rio 2016 menceritakan beliau tidak mensia-siakan waktu yang ada.

Katanya semasa penerbangan menuju ke Tokyo, separuh perjalanan tersebut beliau luangkan dengan bacaan Al-Quran.

Jelasnya, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut ternampak misi peribadinya itu dan memberikan kata-kata semangat dan tips kerohanian.

“Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan dan apabila kita baca Al-Quran ini tidak mudah, banyak dugaan-dugaan serta bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita.

“Sebab tu bila kita baca Al-Quran dalam bulan Ramadhan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.

“Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya, saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza dan dapat lupakan seketika kepenatan daripada latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah duniawi yang tersumbat di kepala,” jelasnya.

Azizulhasni turut menyatakan beliau berjaya khatam Al-Quran sehari sebelum beliau memulakan perlumbaan dalam acara keirin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here