PM ajak semua parti pulih negara, tidak biar kleptokrat memerintah

*Wujud kerajaan stabil,inklusif *Pilihan Raya Umum Ke-15 penghujung Julai 2022

DALAM usaha menenangkan politik negara supaya ia tidak menganggu usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya diluluskan oleh Dewan Rakyat, September nanti.

Sehubungan itu, Muhyiddin dalam ucapan khas hari ini berkata, Kabinet dan parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

‘’Bukan untuk kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan yang lain tetapi  akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi- partisan di Dewan Rakyat,’’ katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif. Stabil dengan dokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

‘’Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah. Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

‘’Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,’’ katanya.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa dan dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

‘’Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.

‘’Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen. Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *