DUA nelayan berdepan detik cemas selepas terpaksa berpaut pada bot mereka yang terbalik hampir empat jam di Pulau Kendi sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.
Mangsa, S. Manimaran, 50, dan Azhar Azizi Halim, 30, bernasib baik apabila mereka ditemui dan diselamatkan Kapal Maritim (KM) Kimanis yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng/Op Pertiwi kira-kira pukul 7 malam semalam.
Menurut Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed, dua nelayan berkenaan ditemui sedang berpaut pada bot yang terbalik dan meminta bantuan pada kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika tenggara Pulau Kendi.
Menurut beliau, bot yang berpangkalan di Tanjung Piandang, Perak itu mengalami kebocoran semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Nelayan berkenaan gagal mengepam keluar air yang memasuki bot seterusnya menyebabkan bot mereka terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang.
Jelasnya, mangsa dibawa pulang ke Tanjung Piandang oleh pemilik bot yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan keadaan semasa mereka.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
Leave a Reply