[Video]Renung titah Sultan Johor dalam konteks Malaysia

Oleh RAHIMI MOHAMAD

JELAS dan padat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan wakil-wakil rakyat di negeri itu agar tidak berterusan bermain politik ketika ada rakyat yang sedang kelaparan, hilang pekerjaan dan paling perit sedang bertarung nyawa akibat Covid-19.

Ini bukan kali pertama Sultan Ibrahim secara terbuka menegur dan memberi amaran kepada ahli politik yang dilihat lebih memikirkan soal kedudukan dan kuasa berbanding kepentingan rakyat.

Dua hari sebelum merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pun baginda sudah menzahirkan perasaan kecewa apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Baginda memahami rakyat tidak mahu melihat perbalahan politik menjadi lebih dominan sehingga menjejaskan usaha keras kerajaan untuk memulihkan kembali keadaan kesihatan dan juga ekonomi rakyat.

Meskipun diketahui teguran Sultan Johor mungkin lebih memfokuskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri baginda, tetapi rasanya tidak salah untuk pemimpin dari seluruh negara tanpa mengira parti apa pun merenung titah berkenaan.

Sebenarnya, inilah masa untuk semua bersatu padu dan bekerjasama mencari titik penyelesaian dalam isu Covid-19 dan impak wabak itu terhadap kehidupan masyarakat.

Memang tepat teguran Sultan Ibrahim yang meminta pemimpin yang mungkin sering mempersoalkan apa pihak lain lakukan sebaliknya bertanya kepada diri sendiri apa yang telah dilaksanakan, bak titah baginda ‘lihatlah cermin muka sendiri’.

Maka, apabila direnung kembali kenyataan-kenyataan yang mungkin mempamerkan sikap sesetengah pemimpin menuding jari kepada pemimpin lain, inilah masanya mereka bermusahabah diri meletakkan situasi genting itu pula dalam diri masing-masing.

Tidak salah mengkritik kerana perkara itu sentiasa sahaja terbuka untuk dibahaskan tetapi jika secara tiba-tiba menukar nakhoda yang sudah merencanakan perjalanan kapalnya di lautan luas, adakah nakhoda baharu mampu sampai ke destinasi yang dituju.

Akan sampai masanya untuk semua orang berpolitik, bukan sahaja pemimpin tetapi rakyat yang berhak untuk menentukan wakil mereka juga akan turut berpolitik apabila waktu mengundi tiba nanti tetapi bukan sekarang.

Sekarang adalah masa untuk masyarakat mengharapkan negara kembali seperti sedia kala agar si suami dapat berjumpa isteri yang jauh di mata dekat di hati, bermanja dengan anak-anak dan ada juga yang mahu menatap wajah ibu ayah di sebalik skrin telefon.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *