AHLI politik di semua peringkat diingatkan menghentikan segala perbalahan politik dan menumpukan usaha membantu rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk semua ahli politik memikirkan mengenai kedudukan dan kuasa masing-masing.
Tegasnya yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, ketidaktentuan politik negara disebabkan sikap ahli politik yang saling berebut kuasa juga menyebabkan pelabur luar bimbang dan hilang keyakinan terhadap negara.
“Sekiranya keadaan politik di negara kita tidak stabil, siapa lagi yang berani melabur di negara kita?
“Akhirnya, rakyat dan negara kita yang mengalami kerugian,” katanya.
Menurut Tong Keong, semua Ahli Parlimen tanpa mengira kerajaan atau pembangkang juga perlu segera mengedarkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan menerusi Program Bakul Makanan yang diperuntukkan Kerajaan Pusat.
Jelasnya, pemimpin Gerakan di seluruh negara sedia bekerjasama dengan pemimpin dan ahli di setiap bahagian, Pusat dan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan.
“Dalam tempoh masa yang kritikal ini, kehidupan kebanyakan rakyat terkesan, apatah lagi dengan impak yang bakal dibawa varian Delta yang sedang menyerang negara kita.
“Maka, semua pihak harus mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat dan menyelesaikan masalah kehidupan rakyat dengan segera,” katanya.
Leave a Reply