DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi terus berteka teki berhubung langkah UMNO seterusnya setelah menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya dalam kenyataannya hari ini Presiden UMNO kesal dengan tindakan yang disifatkan menimbulkan syak wasangka terhadap ketetapan parti tersebut.
‘’Persoalan “what’s next” jelas cuma bertujuan menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap perjuangan UMNO untuk menyelamatkan rakyat dan negara. Keputusan Mesyuarat MKT UMNO pada 7 Julai lalu secara jelas menyatakan “what’s next” jika dibaca dan dihayati dengan hati yang jujur,’’ katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, keputusan MKT sudah menegaskan bahawa UMNO mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
‘’Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15,’’ katanya.
Ahmad Zahid berkata, pilihan raya itu penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong.
‘Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,’’ katanya.
Dalam kenyataan itu juga, beliau sekali menegaskan, UMNO mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).
Leave a Reply