POLIS menahan 18 individu termasuk tujuh wanita dengan empat daripadanya wanita warga asing dipercayai menyertai parti liar di sebuah kondominium di Kepong, di sini, awal hari ini.
Kesemua yang ditahan turut dikompaun sebanyak RM4,000 seorang di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata semasa serbuan pada 1 pagi itu, kesemua individu berusia 19 hingga 42 berkenaan sedang minum minuman keras selain memasang bunyi muzik yang kuat.
Beliau berkata siasatan ke atas dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun yang juga penganjur parti itu mendapati aktiviti berkenaan dipromosi melalui aplikasi WeChat dan mengenakan bayaran RM150 bagi setiap bilik di kondominium itu.
“Suspek juga dipercayai melakukan penganjuran parti liar itu sejak awal bulan ini manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati 12 individu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin. Polis turut merampas dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 27.50 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata permohonan reman akan dibuat ke atas kesemua individu itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA
Leave a Reply