muafakat nasional

Perkataan ‘kirim salam’ isyarat Muafakat Nasional bakal berkubur?

MASA depan hubungan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) yang termeterai pada 14 September 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kini menjadi persoalan.

Ia berikutan reaksi yang diberikan oleh salah seorang pemimpin tertinggi UMNO dalam petemuan dengan kepemimpinan Pas semalam.

Satu sumber mendakwa, dalam pertemuan bagi membincangkan perkembangan politik semasa itu, pemimpin UMNO tersebut dikatakan mengeluarkan perkataan ‘kirim salam’ yang memberi gambaran bahawa MN yang terbentuk dalam Himpunan Perpaduan Ummah dua tahun lalu bakal berakhir.

‘’Kepemimpinan Pas terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh pemimpin tersebut kerana mereka tidak menyangka sama sekali pemimpin itu akan berkata demikian,’’ dakwa sumber berkenaan.

Pemimpin UMNO itu juga, dakwa sumber tersebut, begitu yakin misi UMNO untuk menumbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui undi percaya di Parlimen tidak lama lagi akan berjaya.

‘’Cara beliau bercakap itu, seolah-olah UMNO tidak memerlukan undi Pas jika Perdana Menteri baharu mahu dilantik,’’ kata sumber tersebut.

Sumber itu mendakwa, tindakan pemimpin UMNO berkenaan dikatakan mengejutkan seorang lagi pemimpin parti itu yang tetap mahu mempertahankan MN demi perpaduan dan kuasa politik orang Melayu.

Difahamkan walaupun salah seorang pemimpin tinggi UMNO tersebut memberi bayangan MN sudah berakhir, namun Pas tidak akan berputus asa.

Sebaliknya usaha akan diteruskan oleh parti itu bagi mendapat sokongan pemimpin-pemimpin UMNO yang majoritinya masih mahu MN dikekal dan diperkukuhkan khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

MN terbentuk melalui Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menangani piagam yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Pembentukan MN mendapat sambutan positif orang Melayu kerana ia dilihat sebagai tanda berakhirnya permusuhan politik antara dua parti orang Melayu itu.

Melalui kerjasama berkenaan ia membolehkan UMNO memenangi beberapa pilihan raya kecil dengan bantuan Pas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *