Pendirian UMNO Johor tentukan hala tuju kerajaan PN Johor

Oleh Abu Ubadillah Rahman

MENTERI Besar Johor perlu menyatakan pendirian beliau dan UMNO Johor sama ada menyokong kepimpinan atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Khamis ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, penjelasan perlu diberikan kerana sehingga kini Datuk Ir Hasni Mohammad Hasni masih tidak memberi jawapan walaupun sudah didesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor.

“Selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, kita di Johor tertanya-tanya apa pendirian UMNO Johor?

“Hasni perlu membuat keputusan dan pendirian jelas tentang pendirian UMNO Johor dalam hal ini, adakah mengikut keputusan UMNO Pusat iaitu UMNO Johor juga menarik sokongan terhadap PN Johor?

“Pendirian Hasni dan UMNO Johor penting kerana ramai yang masih keliru dan tertanya-tanya hala tuju PN Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan secara simbolik kepada Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) di Kip Mart Masai, Pasir Gudang semalam.

Selasa lalu Ahmad Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, susulan itu timbul pertanyaan status dan kerjasama kerajaan PN di Johor yang terdiri daripada Bersatu, UMNO, Pas MIC dan MCA.

Sebelum ini Che Zakaria memberitahu, empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika kepimpinan di peringkat Pusat bertukar.

Untuk rekod, kerajaan PN Johor pimpinan Menteri Besar Johor itu ketika ini mempunyai 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, pengumuman pendirian Hasni dalam sidang DUN nanti tepat pada masanya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir selaku ADUN Gambir.

“Apabila Hasni sudah membuat pengumuman, terpulang kepada kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sama ada bubarkan DUN, bentuk kerajaan baharu sekiranya kerajaan PN Johor runtuh atau lantik Menteri Besar Johor interim.

“Kita yakin Sultan Johor akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri. Kita barharap Hasni akan membuat keputusan bijak dan jika boleh menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Keputusan Hasni katanya, penting kerana akan mempengaruhi hala tuju serta kestabilan politik negeri ini dan pertimbangan sebaik-baiknya wajar dilakukan dalam keadaan rakyat bergelut untuk hidup semasa pandemik Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *