Guan Eng beri keterangan hampir dua jam kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memberi keterangan hampir dua jam kepada polis bagi membantu siasatan kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tiba di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang kira-kira pukul 1 petang dengan ditemani peguam, RSN Rayer.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan Rayer yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong turut diambil keterangan berhubung kes sama.

Sementara itu bercakap kepada pemberita di pekarangan balai polis, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, siasatan polis terhadap tindakan Ahli Parlimen itu adalah satu pembaziran masa dan tenaga pihak berkuasa yang sepatutnya ditumpukan untuk melindungi rakyat dan menjaga keamanan. 

Tambahnya, siasatan itu juga jelas bermotifkan politik dan merupakan tekanan terhadap Ahli Parlimen pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab mereka. 

Tambah beliau, siasatan polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang itu juga melanggar usul yang telah diluluskan di Parlimen tahun lalu berikutan sidang Parlimen masih belum ditangguhkan secara rasmi. 

Usul itu katanya, adalah berhubung perintah yang mengarahkan Ketua polis Negara untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat ke Dewan Rakyat tanpa sebarang halangan. 

“Sidang kali ini masih belum ditangguhkan secara rasmi, jadi semua usul yang dipersetujui pada tahun lalu masih berkuat kuasa. 

“Tapi nampaknya apa yang berlaku adalah kami dihalang, polis perlu jawab mengapa menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas untuk masuk ke pejabat,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, Guan Eng; Rayer dan Kon Yeow merupakan antara Ahli Parlimen yang menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. 

Turut menyertai perarakan tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal. 

Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *