Bersatulah! wahai pemimpin bangsa, batalkan undi percaya

Oleh DATUK SIRAJUDDIN SALLEH

YANG di-Pertuan Agong dan beberapa Raja-Raja-Melayu membuat tiga amanat utama kepada pemimpin-pemimpin bangsa melalui Titah Ucapan Maal Hijrah 1443 – hentikan sengketa,jangan rebut kuasa dan bersatulah.

Pertubuhan Gerakan QIAM menyokong penuh titah ini dan berpendapat tidak ada saranan atau tuntutan yang lebih jelas dan besar daripada tiga perkara ini semasa negara dan dunia berperang dengan pandemiK Covid-19. Lebih sejuta rakyat yang telah dijangkiti Covid-19 dan lebih 11,000 meninggal dunia.

Malangnya puak-puak pembangkang yang kami kira hilang sifat kemanusiaan mereka, asyik menyerang Perdana Menteri dan Kerajaan serta menuntut supaya berundur. Mereka tidak habis-habis menuntut supaya sidang Parlimen diadakan segera dengan harapan dapat mereka usulkan undi tidak percaya agar kerajaan ini tumbang dan mereka dapat ambil alih kuasa.

Apabila Parlimen bersidang 26 Julai lalu, mereka melalak melaung, bukannya mengemukakan cadangan yang bernas bagi mengatasi Covid-19. Apabila Parlimen ditangguhkan kerana Covid-19 pun mereka tidak percaya. Hari ini kerajaan mengesahkan seorang pegawai Parlimen pada sesi berkenaan telah meninggal dunia di samping ramai lagi yang dijangkiti Covid-19. Apakah masih tidak percaya? Agaknya jika pemimpin-pemimpin Pembangkang yang meninggal, baru mereka percaya?

Tidak cukup dengan itu, puak pembangkang mengadakan demonstrasi jalanan. Apakah tujuan mereka agar media luar negara melaporkan Malaysia dalam keadaan huru-hara? Pelabur asing menjadi takut untuk melabur di sini.

Bagaimana dapat dipulihkan ekonomi negara jika inilah perbuatan mereka? Perbuatan khianat ini tidak harus dimaafkan. Apakah laungan perpaduan selama ini hanya untuk rakyat jelata sahaja?

Lebih dahsyat lagi ialah bila Presiden UMNO umumkan pada 3 Ogos lalu UMNO tarik sokongan daripada Kerajaan PN. Sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO juga turut tarik sokongan mereka. Apakah mereka ingin berpakat dengan DAP dan PKR untuk bentuk Kerajaan baharu?

Apakah mereka lupa siapa itu DAP setelah melihat 22 bulan DAP dalam Kerajaan PH? Butakah mata hati mereka? Apakah mereka juga lupa siapa itu Pemimpin PKR? Bukankah Perhimpunan Agung UMNO sudah buat resolusi “No DAP, No Anwar”.

Kini keputusan telah dibuat bahawa usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang Parlimen September ini. Adakah kerana ketegasan Tan Sri Mahiaddin tidak mahu campur- tangan dengan urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa mereka yang sedang didakwa menyebabkan mereka beria-ia hendak jatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan PN?

Apakah mereka sanggup merosakkan sistem Kehakiman negara dengan memberikan gambaran bahawa ianya boleh dimanipulasi oleh pihak luar? Justeru, QIAM sekali gus bantah sekeras-kerasnya sebarang campur-tangan luar dalam sistem Kehakiman negara. Jangan sampai rakyat jelata mengatakan undang-undang dan Kehakiman negara hanya untuk rakyat jelata sahaja sedangkan gulungan kayangan bebas dari tindakan Mahkamah.

7. Di kesempatan ini, QIAM juga ingin bertanya, siapakah yang mereka mahu jadikan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin? Adakah mereka punyai seorang tokoh yang layak dan berkaliber? Di satu segi pula, jika ditukar Perdana Menteri sekali pun, apakah masalah COVID-19 ini boleh mereka hapuskan sekelip mata? Apakah buta mata hati mereka untuk melihat bahawa negara-negara di dunia termasuk negara besar sekali pun masih bergelut memerangi wabak COVID-19 ini?

Di atas persoalan yang dibangkitkan ini, QIAM dengan rendah hati menyeru Presiden UMNO dan orang-orangnya supaya bertaubatlah dan balik semula ke pangkal jalan bersama Tan Sri Mahiaddin dan Kerajaan PN.

Batalkanlah usul undi percaya. QIAM juga menyeru Dr. Tun Mahathir Mohamad sebagai negarawan ulung untuk membimbing dan membawa pemimpin-pemimpin UMNO, Pas, Bersatu supaya berbaik semula membentuk tulang belakang yang kuat sebagai Kerajaan negara ini.

Janganlah biarkan negara yang ayahanda Tun bina selama ini jatuh ke tangan DAP. Ingatlah titah tiga perkara Yang di-Pertuan  Agong dan Raja-Raja Melayu sempena Maal Hijrah 1443 – hentikan sengketa, jangan berebut kuasa, dan bersatulah.

  • Datuk Sirajuddin Salleh adalah Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam. Artikel ini adalah kenyataan media beliau. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *