150 penduduk hilang tempat tinggal, rumah panjang didiami musnah dalam kebakaran

SEBUAH rumah panjang 21 pintu di Kampung Sekubang, Batu Kawa Lama dekat Kuching Sarawak musnah dalam satu kebakaran kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Kebakaran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 150 penduduk hilang tempat tinggal itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kesemua penghuni termasuk 66 kanak-kanak berjaya keluar dari rumah mereka tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu membabitkan
anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang selain dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

“Jentera bomba mengalami kesukaran untuk masuk ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang kecil dan sempit,” katanya hari ini.

Ling Hii berkata, rumah panjang itu musnah 100 peratus kerana api merebak dengan cepat selain disumbang oleh binaannya yang berstruktur tidak kekal.

Ujarnya, buat masa ini kesemua mangsa kebakaran ditempatkan sementara di dewan sekolah berhampiran rumah panjang itu.

Beliau menambah, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *