21 maut dalam kemalangan bas di barat Turki

Oleh: Bernama

SEKURANG-KURANGNYA 21 orang terbunuh dan 28 yang lain cedera dalam dua kemalangan jalan raya melibatkan bas penumpang di barat Turki pada Ahad.

Di wilayah Izmir, enam maut dan 11 yang lain cedera selepas sebuah bas penumpang hilang kawalan di daerah Kemalpasa, tulis Gabenor Izmir Yavuz Selim Kosger di Twitter.

Petugas kesihatan dan bomba Gendarmerie segera dikejarkan ke tempat kejadian, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu, dalam satu lagi nahas yang berlaku awal pagi, sebuah bas penumpang terbalik di wilayah Balikesir menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh.

Bas malang itu dalam perjalanan ke daerah Edremit Balikesir dari wilayah Laut Hitam Zonguldak.

Seramai 11 orang meninggal dunia di tempat kejadian, dan empat yang lain di hospital.

Gabenor Balikesir Hasan Sildak yang melawat mangsa di hospital berkata tiga daripada 17 mangsa yang cedera sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Siasatan mengenai punca nahas sedang dijalankan.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *