Pemimpin akar umbi UMNO lancar gerakan singkir Zahid?

BEBERAPA pemimpin akar umbi UMNO di seluruh negara kini dilaporkan sudah melancarkan gerakan untuk menyingkirkan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ekoran keputusan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan portal berita Agenda Daily hari ini, gerakan tersebut dijalankan oleh beberapa Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan pimpinan di peringkat cawangan.

Menurut laporan tersebut, maklumat yang diterima portal berkenaan mendakwa sekurang-kurangnya 50 Ketua UMNO Bahagian terlibat dalam gerakan berkenaan.

“Mereka dikatakan akan membuat aduan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung tindakan Zahid yang tidak mengikut peraturan parti, ia termasuk isu berkaitan pemilihan parti.

“Kumpulan Ketua UMNO Bahagian tersebut terdiri daripada penyokong yang tidak sehaluan dengan Zahid dan mereka memilih untuk bersama dengan 31 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata laporan itu.

Semalam, seramai 31 MP BN membuat pendirian untuk kekal bersama kerajaan PN sehingga keabsahan ditentukan semasa sidang Parlimen pada September depan, ia walaupun Zahid mendesak supaya Menteri dan Timbalan Menteri meletak jawatan mereka.

Terdahulu, RoS juga memutuskan sema jawatan dalam MT UMNO tidak lagi sah selepas tempoh penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021 lalu dan perlu mengadakan pemilihan dengan segera.

Untuk rekod terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan membabitkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu pada peringkat cawangan sebanyak 21,135 mesyuarat; Wanita (21,058 mesyuarat); Pemuda (15,496 mesyuarat); dan Puteri (8,598 mesyuarat).

Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri, yang semuanya mesti dijalankan secara serentak. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *