DAKWAAN UMNO Johor telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Johor (Bersatu) dan Perdana Menteri serta akan bentuk kerajaan negeri baharu seperti yang tular dalam media sosial ketika ini adalah tidak benar.
UMNO Johor menerusi laman Facebook rasmi mereka menegaskan, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad tidak pernah langsung mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“UMNO Johor menafikan sekeras-kerasnya dan kenyataan yang tersebar dalam media sosial itu adalah palsu,” kata kenyataan itu malam tadi.
Kenyataan dengan kepala surat UMNO Johor itu tersebar sejak semalam dengan menyatakan pihaknya memutuskan untuk setia dan menghormati keputusan Presiden UMNO yang memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
Kenyataan itu berkata, UMNO Johor mengisytiharkan tiada hubungan dengan Bersatu dan Pas.
Katanya lagi, bagi memastikan UMNO Johor terus menjadi kerajaan diketuai parti berkenaan, UMNO Johor kini sedang berunding dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Selain itu, Exco kerajaan negeri, ahli majlis dan sesiapa yang memegang jawatan daripada Bersatu dan Pas wajib meletak jawatan segera susulan keputusan tersebut.
Leave a Reply