Kelantan sukar beralih ke Fasa 3 PPN

by

in

Oleh: Mohd Lazim Endut

HASRAT Kelantan untuk beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat dilihat agak sukar, ujar Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

Ini kerana kata Ahmad, dalam menghadapi pandemik ini pihalnya berhadapan kesukaran berikutan peningkatan kes harian Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, hasrat peralihan fasa ini hanya mampu dicapai sekiranya rakyat terus memberikan sokongan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan tersebut.

“Walaupun ada yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, namun SOP tetap perlu dipatuhi.

“Kita sepatutnya ambil iktibar dengan berita yang dilaporkan di dalam dan luar negara di mana ada negara yang sudah lengkap imunisasi kelompok tetapi masih ada penduduk positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kebakat, Tumpat hari ini.

Sempena kunjungan itu Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di PKPD berkenaan.

Menurut Ahmad, peningkatan kes di negeri itu berlaku disebabkan terdapat banyak varian baharu lebih merbahaya telah muncul.

Beliau berkata, untuk beralih ke Fasa 3 PPN, mereka perlu mencapai tiga indikator ditetapkan iaitu jumlah kes harian, pencapaian vaksinasi dan keadaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

Katanya, setakat ini di Kelantan terdapat sebanyak 28 lokaliti PKPD.

“Kita lihat buat masa sekarang agak sukar untuk beralih ke fasa seterusnya, sebab itulah kita nasihatkan orang ramai walaupun sudah mendapat dua atau satu dos suntikan vaksin, SOP mesti dijaga sebagaimana yang diarahkan,”ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *