Tag: Fasa 3 PPN

  • 19,057 kes baharu Covid-19, Sarawak, Perlis catat peningkatan

    19,057 kes baharu Covid-19, Sarawak, Perlis catat peningkatan

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun buat dua hari berturut-turut kepada 19,057 kes hari ini berbanding 19,378 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 321 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,824,439 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila merekodkan sebanyak 3,775 kes baharu berbanding 3,613 kes semalam.

    Sarawak dan Perlis yang masing-masing adalah negeri dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mencatatkan peningkatan ketara apabila masing-masing mencatatkan sebanyak 2,723 kes dan 99 kes.

    Sabah yang berada di tempat ketiga di belakang Sarawak dan Johor pula terus mencatatkan lebih 2,000 jangkitan apabila masing-masing merekodkan sebanyak 2,279 kes dan 2,077 kes.

    Empat negeri pula mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,558 kes), Perak (1,450 kes), Kelantan (1,434 kes) dan Kedah (1,329 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu empat kes diikuti Putrajaya dengan 18 kes.

  • Kelantan sukar beralih ke Fasa 3 PPN

    Kelantan sukar beralih ke Fasa 3 PPN

    Oleh: Mohd Lazim Endut

    HASRAT Kelantan untuk beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat dilihat agak sukar, ujar Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

    Ini kerana kata Ahmad, dalam menghadapi pandemik ini pihalnya berhadapan kesukaran berikutan peningkatan kes harian Covid-19 ketika ini.

    Beliau berkata, hasrat peralihan fasa ini hanya mampu dicapai sekiranya rakyat terus memberikan sokongan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan tersebut.

    “Walaupun ada yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, namun SOP tetap perlu dipatuhi.

    “Kita sepatutnya ambil iktibar dengan berita yang dilaporkan di dalam dan luar negara di mana ada negara yang sudah lengkap imunisasi kelompok tetapi masih ada penduduk positif Covid-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kebakat, Tumpat hari ini.

    Sempena kunjungan itu Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di PKPD berkenaan.

    Menurut Ahmad, peningkatan kes di negeri itu berlaku disebabkan terdapat banyak varian baharu lebih merbahaya telah muncul.

    Beliau berkata, untuk beralih ke Fasa 3 PPN, mereka perlu mencapai tiga indikator ditetapkan iaitu jumlah kes harian, pencapaian vaksinasi dan keadaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

    Katanya, setakat ini di Kelantan terdapat sebanyak 28 lokaliti PKPD.

    “Kita lihat buat masa sekarang agak sukar untuk beralih ke fasa seterusnya, sebab itulah kita nasihatkan orang ramai walaupun sudah mendapat dua atau satu dos suntikan vaksin, SOP mesti dijaga sebagaimana yang diarahkan,”ujarnya.

  • Orang ramai serbu kedai makan selepas Perlis masuk Fasa 3 PPN

    Orang ramai serbu kedai makan selepas Perlis masuk Fasa 3 PPN

    Oleh:Bernama

    BAGAI melepaskan geram, begitulah suasananya apabila orang ramai mula menyerbu gerai dan kedai makan sebaik negeri Perlis beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, yang antara lain membenarkan pelanggan makan di dalam premis dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    Tinjauan Bernama mendapati gerai dan kedai makan menjadi tumpuan orang ramai seawal 7 pagi untuk bersarapan, dengan masing-masing sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk duduk di meja dan mengikuti SOP penjarakan fizikal ditetapkan iaitu hanya dua orang bagi satu meja.

    Situasi itu turut melegakan peniaga setelah mereka seumpama ‘nyawa-nyawa ikan’ akibat pendapatan merosot apabila Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dikuatkuasakan pada Mei lepas bagi mengekang penularan Covid-19.

    Seorang peniaga gerai roti canai, Mohd Azuam Azwadi, 30, berkata beliau tidak menang tangan melayan lebih 20 pelanggan yang berbaris menunggu giliran kerana jumlah meja terhad.

    “Gerai saya hanya boleh memuatkan 10 meja bagi mematuhi penjarakan fizikal yang ditetapkan. Alhamdulillah pelanggan faham dan mereka sabar menunggu giliran,” katanya hari ini.

    Seorang pemilik kopitiam, Khor Sooi Hwang, 56, berkata beliau memang menjangkakan ramai pelanggan akan datang ke kedainya hari ini kerana menyedari keterujaan orang ramai selepas lebih dua bulan tidak dapat menikmati makanan di kedai.

    “Ramai pelanggan memberitahu makan di rumah tak sama seperti makan di kedai, mereka kata makan di kedai lebih nikmat kerana suasananya berbeza berbanding di rumah,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

    Sementara itu bagi orang ramai, kerinduan mereka untuk kembali makan di restoran atau kedai makan yang sebelum ini menjadi rutin, kini bagaikan terubat.

    Seorang juruteknik syarikat swasta, Rusli Ali, 50, melahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat kembali menikmati makanan di kedai.

    “Hari ini rasa seronok dapat makan di kedai bersama rakan-rakan sebelum masuk pejabat, macam sambut hari raya pula, tetapi SOP tetap dijaga,” katanya sambil ketawa kecil.

    Nur Diyana Radzi, 29, pula berkata sejak pelaksanaan Fasa Satu PPN beliau terpaksa bangun seawal 5 pagi untuk masak bekalan ke tempat kerja kerana tidak gemar membeli makanan yang dibungkus.

    “Alhamdulillah, akhirnya dapat juga makan di premis (kedai) seperti biasa, saya rasa lega kerana tidak perlu lagi masak setiap pagi,” kata penjawat awam itu.- BERNAMA