Oleh MOHD LAZIM ENDUT

INDUSTRI pelancongan Terengganu yang kini terjejas teruk perlu dipulihkan semula bagi memberi nafas kepada para penggiatnya.

Justeru, Kerajaan negeri berharap agar aktiviti merentas daerah dibenarkan semula di Terengganu pada bulan depan dalam usaha menghidupkan sektor berkenaan khususnya di pulau-pulau peranginan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia penting bagi memberi peluang kepada pengusaha pelancongan di kesemua empat pulau peranginan iaitu Pulau Perhentian di Besut, Redang (Kuala Nerus), Kapas (Marang) dan Tenggol (Dungun) mendapat manfaat kerana kebiasaannya mereka tidak beroperasi pada hujung tahun kerana musim tengkujuh.

Sehubungan itu, Ariffin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Keselamatan Negeri Terengganu bagi mencari jalan supaya aktiviti merentas daerah dibenarkan.

“Sebagaimana tahun lalu sebaik sahaja dibenarkan merentas daerah, ramai pengunjung berpusu-pusu pergi ke pulau-pulau,” katanya selepas memantau Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Pulau Perhentian, di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, di Besut, semalam.

Seramai 672 penduduk dan 279 penggiat pelancongan membabitkan 28 hotel dan resort di Pulau Perhentian sebelum itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 dalam program dua hari bermula Khamis.

Berdasarkan indikator peralihan fasa yang diputuskan kerajaan persekutuan kata Ariffin, kerajaan negeri menjangkakan Terengganu berupaya beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada penghujung bulan ini.

Menurut beliau, antara
syarat ditetapkan ialah kadar vaksinasi mencapai 40 peratus penduduk dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital mencukupi.

“Sehingga ini bilangan penduduk Terengganu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 kini 27 peratus dan kita jangka awal bulan depan lebih 40 peratus penduduk menerima vaksin dos pertama. Jadi kita yakin tidak ada masalah untuk beralih ke fasa seterusnya,” ujarya.

Beliau berkata, peralihan fasa itu juga diyakini dapat merancakkan semula industri pelancongan negeri ini.

Sementara itu, Ariffin memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan 100 peratus penduduk pulau di Terengganu selesai divaksin dan mencapai imuniti kelompok di pulau-pulau, seawal September ini.

Ends

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here