Tidak wajar melabel Ismail Sabri sebagai pengkhianat

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh melabel Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengkhianat hanya kerana menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tampil berdiri bersama Perdana Menteri dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, Presiden UMNO itu juga tidak wajar mahu mengenakan tindakan ke atas Ismail Sabri atas tuduhan melanggar mana-mana peraturan yang terdapat dalam UMNO.

“Tindakan Ismail Sabri adalah kerana kepatuhan kepada tugas dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan dan adalah tepat sebagai Timbalan Perdana. Ahmad Zahid harus membezakan antara keperluan tugas-tugas Jemaah Menteri berbanding parti.

“Jika beliau sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, itu petanda Ahmad Zahid harus meletakkan jawatan kerana tidak lagi peka dan tidak sihat dalam membuat keputusan kerana dipengaruhi emosi.

“Dalam hal ini, isunya bukan Ismail Sabri khianati parti, sebaliknya Ahmad Zahid yang jelas mengkhianati parti dan membelakangkan ahli UMNO apabila bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kartini berkata, Ahmad Zahid kini seolah-olah menjadi diktator yang cuba mengarah apa yang perlu ahli buat dan turuti.

Justeru katanya, taat setia dan rasa hormat ahli UMNO kepada Presiden tidak perlu membuta-tuli.

Jelasnya, ini kerana dalam situasi politik ketika ini, kepimpinan Presiden dipertikai daripada segi dedikasi dan kewibawaan setelah beberapa siri kesalahan melibatkan integriti terhadap UMNO dan ahli-ahli UMNO.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *