Pasaran saham tempatan melantun semula

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

BURSA Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan hari ini, seiring pergerakan di bursa serantau, susulan sentimen pasaran yang lebih baik.

Ini mencatatkan prestasi berbeza berbanding aliran rendah yang dicatatkan semalam.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menokok 4.25 mata kepada 1,495.58 daripada 1,491.33 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 2.32 mata lebih tinggi kepada 1,493.65.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 168 berbanding 127 manakala 252 kaunter tidak berubah, 1,645 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 180.9 juta unit bernilai RM89.29 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn. Bhd., FBM KLCI mencatatkan prestasi berbeza berbanding dengan sesi sebelum ini untuk ditutup rendah semalam selepas pelabur berundur daripada dagangan susulan kes positif COVID-19 harian yang tinggi selain gangguan politik berterusan dalam negara.

Firma pembrokeran itu menjelaskan bursa tempatan menyaksikan aliran keluar dana asing bagi sembilan sesi dagangan berterusan berikutan sentimen pasaran negatif secara keseluruhan.

“Bagaimanapun, pengumuman Perdana Menteri mengenai persidangan Parlimen disambung pada bulan depan serta peningkatan kadar vaksinasi dapat meredakan ketidakpastian dalam pasaran.

“Memandangkan pergerakan menurun telah melepasi paras 1,500, pelabur mungkin memantau paras sokongan berikutnya pada 1,480 manakala rintangan pada 1,500,” menurutnya dalam nota penyelidikan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *