APAKAH UMNO mula akan ditinggalkan oleh kawan dan anggota Barisan Nasional (BN)? Persoalan itu ditimbulkan apabila Pas melahirkan rasa dukacita dengan langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertindak mengarahkan ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  tindakan itu juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam Piagam Muafakat Nasional.

‘’Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara dan usaha menangani penularan wabak Covid 19, serta usaha membantu rakyat yang terjejas teruk kini,’’ katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dilakukan beberapa jam selepas tersebar laporan bahawa Ahmad Zahid memberi tempoh 48 jam kepada ahli-ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan dalam kerajaan atau berhadapan dengan tindakan dipecat daripada parti.

Difahamkan Ahmad Zahid dikatakan secara peribadi menghubungi ahli-ahli Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas kekal yakin dengan asas penubuhan Muafakat Nasional yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Sementara itu MCA yang merupakan anggota BN sejak 1952 membuat keputusan untuk melaksanakan resolusi BN yang menyokong Kerajaan PN sehingga pilihan raya umum akan datang.

Keputusan parti itu yang dilihat tamparan kepada Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN dibuat dalam mesyuarat Biro Politik MCA semalam.

‘’Hakikat dan realiti sekarang jelas, tiada satupun atau gabungan parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan stabil. Maka jika kerajaan PN dijatuhkan sekarang, ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan dan pastinya ia memudaratkan rakyat serta negara.

‘’MCA berpendapat bahawa keputusan YAB Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen September nanti yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, adalah langkah yang tepat, berdasarkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” kata MCA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here