Tengku Zafrul seru ketepi perbalahan politik, utamakan nyawa rakyat

SEMUA semua pihak perlu mengenepikan perbezaan dan bersatu dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ketika penularan varian wabak itu lebih ganas ketika ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan, nyawa rakyat harus diutamakan berbanding perbalahan politik yang tiada kesudahan.

Menurut beliau, rakyat Maaysia umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan.

“Pada saat kritikal di mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang.

“Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat tersebut, bagaimanakah perasaannya melihat keadaan ini?,” tanya beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul berkata jangkitan Covid-19 kini semakin parah bukan sahaja di Malaysia malah di negara yang sebelum ini berjaya mengawal pandemik ini.

“Banyak negara, termasuk Malaysia, yang tahun lalu telah berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, hari ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 akibat munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda,” katanya.

Sehubungan itu beliau memberi penekanan agar mementingkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin dengan penyertaan pihak pembangkang dan pakar.

“Atas semangat kesepakatan inilah saya telah mengundang ahli-ahli politik parti pembangkang untuk menyertai mesyuarat penyelarasan PPN, baik wakil dari Pakatan Harapan dan Warisan, termasuklah parti Pejuang. Malangnya, parti Pejuang sudahpun menolak undangan tersebut secara rasmi.

“Kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN? Sememangnya, PPN adalah harapan terbaik kita, satu penyelesaian yang merangkumi kepelbagaian suara, untuk membawa kita keluar dari krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Zafrul berkata usaha mengenepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna semua dasar dikemukakan kerajaan harus dipersetujui sebaliknya setiap pihak harus tahu garis pemisah untuk hentikan percanggahan.

“Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan,” katanya.

PPN merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi; membuat keputusan berpandukan sains dan data; mengambil pendekatan ‘seluruh negara’ (whole-of-nation); mewujudkan pelan yang dinamik dan memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *