TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemelut politik sengaja dicetuskan kerana ada pihak kurang senang dengan ketegasan beliau untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.
Perdana Menteri berkata ini termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Selain itu kata Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini, beliau juga dituduh menderhaka kepada Raja .
‘’Sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
‘’Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,’’ katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru semua penjawat awam, khususnya barisan hadapan agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.
‘’Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19. Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
‘’Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan,’’ katanya.
Leave a Reply